Pertuduhan mahkamah yang dihadapi oleh ahli politik di bawah Akta Hasutan membabitkan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan dilakukan hasil laporan polis yang dibuat oleh pihak kerajaan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata kerajaan tidak masuk campur kes tersebut kerana pendakwaan melibatkan akta tersebut adalah hasil laporan polis oleh pihak Istana Pahang kerana membabitkan isu raja, agama dan kaum (3R).
"Dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, kami diingatkan bahawa sejumlah kes yang dibawa ke mahkamah berkaitan isu hasutan khusus berkait Ahli Parlimen Pagoh (Muhyiddin) bukan berdasarkan laporan dari pihak kerajaan, tapi hasil laporan polis yang dibuat wakil Istana Pahang.
"Kerajaan tidak masuk campur dalam hal ini, siasatan dilakukan oleh polis dan pendakwaan dibuat berdasarkan siasatan terbabit," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata masih terdapat tohmahan dan dakwaan mengaitkan kerajaan dalam isu berkenaan, khususnya melibatkan kes Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
"Sama seperti kes hasutan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mana laporan polis dibuat wakil Istana Selangor.
"Dua kes hasutan ini membabitkan isu 3R dan laporan polis dari wakil istana, tiada kaitan dengan kerajaan," katanya.
Ditanya mengenai dakwaan Pakatan Harapan (PH) melupakan janjinya untuk menyemak semula Akta Hasutan, Fahmi menafikan perkara itu sebaliknya Raja-Raja Melayu perlu diberikan ruang melalui peruntukan undang-undang sedia ada bagi menangani isu 3R.
"Tidak, kita pada waktu ini belum bincang isu (semakan) Akta Hasutan, ada beberapa perkara sedang diberi pertimbangan dan saya minta rujuk dengan menteri berkaitan (Menteri Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
"Cuma dalam kes ini, saya tegaskan bukan kerajaan bawa kes ke mahkamah, tetapi laporan polis dibuat oleh wakil Istana Selangor dan Pahang," katanya.
Semalam, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan atas tuduhan mengeluarkan perkataan menghasut ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 14 Ogos lalu.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.
Comments