Oleh: Akmal Manaf
Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Akta A1667) bertujuan menambah baik dan memantapkan pengurusan hutan simpanan kekal (HSK) serta penguatkuasaan hutan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dikuatkuasa di Wilayah Persekutuan bermula semalam, akta itu mengandungi 62 peruntukan sebagai penambahbaikan kepada Akta Perhutanan Negara 1984.
Antara lain ia membabitkan proses pewartaan keluar dan penggantian HSK serta proses pelantikan pegawai perhutanan Persekutuan bagi memeriksa dan menyiasat orang yang disyaki melakukan kesalahan hutan.
"Pindaan itu turut merangkumi peningkatan kadar denda dan hukuman ke atas kesalahan hutan iaitu denda maksimum bermula RM20,000 hingga RM5 juta dan hukuman penjara maksimum tujuh hingga 20 tahun serta langkah mengatasi isu kekaburan dan kuasa yang tidak jelas," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Nik Nazmi, penguatkuasaan Akta A1667 akan dilaksanakan serentak dengan penguatkuasaan Kaedah-kaedah Perhutanan Negara (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2025 (P.U.(A) 50/2025).
Penguatkuasaan P.U.(A) 50/2025 itu menjadikan Wilayah Persekutuan (JPWP) sebagai negeri kedua yang mempunyai perundangan dan prosedur bagi menjalankan siasatan awam sebelum pewartaan keluar HSK selepas Selangor.
"Melalui pewartaan ini, kawasan ini akan dapat dilindungi dan dikekalkan sebagai kawasan hijau selain boleh bertindak sebagai green lung bagi kawasan di sekitarnya.
"Kaedah-kaedah ini boleh dijadikan rujukan kepada negeri-negeri lain yang pada masa ini sedang menggubal perundangan subsidiari masing-masing bagi menguatkuasakan Akta A1667," katanya.
Ketika ini keluasan keseluruhan HSK di Wilayah Persekutuan ialah 152.97 hektar yang merangkumi 84.689 hektar HSK di Kuala Lumpur dan 68.281 hektar di Labuan.
Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan (JPWP) sedang dalam usaha untuk menambah keluasan kawasan HSK di Wilayah Persekutuan melalui pewartaan kawasan Bukit Dinding, Ulu Kelang yang berkeluasan 20.05 hektar.
Comments