Serangan berterusan daripada pemimpin Pemuda UMNO, Akmal Saleh ke atas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul wajar dihentikan segera.
Menurut Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Haziq Azfar, ADUN Merlimau itu tersalah 'punching bag' dengan menghentam Speaker dalam isu tidak mengosongkan kerusi parlimen enam Ahli Parlimen bekas anggota Bersatu baru baru ini.
Kata Haziq, Speaker membuat keputusan tersebut berdasarkan undang undang sedia ada yang sebahagian daripada masalahnya dicetuskan oleh Bersatu pada 2022 lalu ketika Akta Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti (Anti Lompat Parti) digubal.
"Dengan hormat, selama ini beliau (Akmal) sudah salah punching bag, dengan Bersatu sebagai punching bag yang sebenar dan bukannya Speaker Dewan Rakyat.
"Jelas keputusan yang diambil Speaker adalah berdasarkan undang-undang anti lompat parti yang lompong akibat ketidaksetujuan Bersatu dalam memasukkan peruntukan untuk mengosongkan kerusi bagi wakil rakyat yang melanggar arahan parti (dan dipecat) dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan tahun 2022
"Apabila Speaker membuat keputusan, ia dibuat berdasarkan peruntukan Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan yang hanya membenarkan kerusi dikosongkan jika mereka meninggalkan parti secara sukarela, bukan melanggar arahan parti secara sukarela," katanya dalam kenyataan hari ini.
Haziq mengingatkan tindakan menyalahkan Speaker itu merupakan satu penganiayaan kepada institusi Parlimen kerana rakyat akan memandang rendah terhadap badan pembuat undang undang berkenaan.
Manakala, katanya, kesediaan Perdana Menteri untuk membuat pindaan menutup kelompongan Akta Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti itu sepatutnya diuar uarkan oleh pemimpin parti komponen.
Haziq berkata, Akmal sepatutnya berjuang menegakkan hal yang benar, bukan sebaliknya.
"Sehingga kini, kita belum mendengar Ketua Pemuda UMNO mengecam tindakan Bersatu iaitu pesalah sebenar yang telah menghuru-harakan undang-undang anti lompat parti yang ada di peringkat Persekutuan.
"Ini bukan berani kerana benar tetapi berani kerana salah," katanya lagi.
Comments