Strategi khemah besar masih berlegar dalam ulasan politik terkini usai Pemilihan KEADILAN 2022.
Terbaharu, penganalisis politik Azmi Hassan berkata Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli perlu pragmatik dalam strategi politik parti itu bagi mengadapi musuh BN - PN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Namun, menurut Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang, kemenangan besar pasukan Rafizi dalam pemilihan lalu menunjukkan isyarat yang jelas sama ada idea khemah besar itu diterima atau tidak di dalam parti.
"Menang atau kalah dalam politik memang kena pragmatik. Cuma apa yang kita lalui baru baru ini tentang pemilihan, kita boleh menyaksikan apa yang dibawa oleh Rafizi dan pasukannya diterima dengan baik sekali.
"Maksudnya anggota kita majoriti tidak mahu pendekatan khemah besar dan kita bukan memilih (undi) cara perwakilan. Kita pilih satu anggota satu undi, maksudnya ia adalah refleks tentang apa yang rakyat kebanyakan mahu," katanya kepada Suara Keadilan.
Bagi Lih Kang apa pun pendapat orang luar, hal itu belum tentu selari dengan kehendak dalaman KEADILAN.
Katanya, anggota KEADILAN lebih selesa dengan konsep memperkuat parti sendiri dan rakyat akan menerima idea baharu yang dibawa oleh pemimpin pemimpin muda parti.
"Saya rasa penganalisis politik kena faham juga walaupun dia kata rundingan dengan parti lain diperlukan, tetapi kamu nak tubuhkan khemah besar memang kita sudah tolak. Anggota sudah tolak
"Itu yang saya nampak dalam pemilihan kali ini. Biar apa pun mereka kata, kita tolak pendekatan khemah besar. Kita kena respons kepada itu, permintaan anggota," katanya.
Berhubung perkembangan terbaharu bahawa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) telah pun memulakan siri rundingan tidak rasmi dengan parti dalam Pakatan Harapan (PH) kecuali KEADILAN, Lih Kang berpendapat relevan atau tidak berunding bersama Pejuang bergantung kepada populariti parti itu
Kata beliau, strategi yang terbaik untuk menang PRU ialah mendengar suara rakyat bawahan dan menyediakan solusi kepada masalah mereka, bukan berunding dengan parti politik yang tidak jelas tahap sokongan pengundi.
"Sebenarnya saya tak pasti apa yang Pejuang mahu tetapi saya rasa Pejuang ini tidak popular. Apa yang dia buat tak semestinya rakyat mahu. Bagi kami, saya rasa yang penting adalah kehendak rakyat.
"Kita kena penuhi hasrat rakyat tetapi bukan hasrat sesetengah orang. Kita nak menang pilihan raya. Kita kena pikat hati rakyat baru kita boleh menang
"Kalau sebut pragmatik, bagi saya pragmatik adalah kita dengar suara dari akar umbi. Akar umbi telah berikan syarat sangat jelas bawah mereka tolak pendekatan khemah besar.
"Mahu buat macam mana (langkah seterusnya) kita kena bincang (dalam KEADILAN)," katanya lagi.
Comments