![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_3ae8086a90194c2a895d9201fc7a80fe~mv2.jpg/v1/fill/w_708,h_512,al_c,q_85,enc_auto/4449e2_3ae8086a90194c2a895d9201fc7a80fe~mv2.jpg)
Calon Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Mohammad Izuan Ahmad Kasim yang dinyatakan sebagai pemenang tempat kedua tetapi kemudian tidak menang setelah keputusan rasmi Pemilihan KEADILAN 2022 diumumkan semalam menerima ketetapan berkenaan dengan lapang dada.
Katanya, selepas ini beliau akan menumpukan tugas sebaik mungkin sebagai Ketua AMK Shah Alam sebagaimana diamanahkan oleh anggota.
"Saya mengambil maklum keputusan rasmi Pemilihan KEADILAN 2022 yang menunjukkan saya terkeluar daripada senarai Naib Ketua AMK Malaysia.
"Satu keputusan yang sukar apatah lagi sebelum ini berada dalam senarai Naib Ketua yang menang namun saya memilih untuk menerima keputusan ini dan mendoakan kepimpinan AMK Malaysia dapat memacu sayap anak muda ini menjadi yang terbaik.
"Saya akan menggalas tugas selaku Ketua AMK Cabang Shah Alam seperti yang dipertanggungjawabkan dan bersedia memberi sumbangan samada di peringkat negeri mahupun nasional," kataya.
Justeru, Izuan mengucapkan syabas kepada Naib naib Ketua AMK yang baharu dalam menggalas tanggungjawab menghadapi perjuangan parti seterusnya.
"Sekalung tahniah dan syabas buat kepimpinan utama AMK Malaysia serta yang menang di peringkat Cabang seluruh negara.
"Terima kasih juga kepada 10,291 anggota AMK yang mengundi saya dan semoga kesatuan ini semakin kuat di bawah kepimpinan yang baru," katanya lagi.
Sebelum ini Mohammad Izuan ditempatkan sebagai pemenang kedua Naib Ketua AMK Malaysia dengan mendapat 12,321 undi. namun keputusan rasmi semalam menempatkan beliau di tangga keempat dengan 10,291 undi.
Comments