
Oleh: Akmal Manaf
Kenyataan dikeluarkan oleh Prof Dr Mohamad Yunus di World Economic Forum, Davos, Switzerland, baru-baru ini berkaitan kejayaan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mengeluarkan golongan rentan daripada kemiskinan hidup mereka sejak lebih tiga dekad lalu merupakan hasil kejayaan memperbaiki taraf hidup masyarakat yang boleh dibanggakan.
Bagaimanapun tidak banyak generasi muda sedar bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pengasas AIM yang ditubuhkan pada 17 September 1987, sewaktu beliau menjawat Menteri Pendidikan Malaysia.
Bagi Felo Kanan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Prof Datuk Dr Madeline Berma, AIM amat berkesan dalam menyediakan pembiayaan kredit mikro di negara ini dan dianggap berjaya kerana memberi pinjaman kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

"Kita lihat ramai yang meminjam, dapat keluar daripada kepompong kemiskinan seperti ada peminjam yang sudah memulakan perniagaan mereka (secara kecil kecilan).
"AIM juga membawa satu model yang baharu daripada segi pinjaman. Dalam konteks AIM, mereka datang kepada orang miskin, jadi golongan kurang berkemampuan ini tidak perlu pergi ke bank,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian mengulas usaha AIM sejak penubuhannya yang telah berjaya membantu memperbaiki kehidupan golongan rentan di negara ini.
Mengulas lanjut, Felo Kehormat Akademi Sains Malaysia itu turut memberikan pujian kepada idea Dr Mohamad Yunus yang mengilhamkan inisiatif membantu golongan memerlukan menerusi pinjaman mikro-kredit.
"Selalunya mereka yang mahu meminjam ini, pihak bank tidak mahu memberikan pinjaman (perlu cagaran dan sebagainya).
"Jadi untuk mengelakkan situasi itu berlaku, Prof Yunus telah mewujudkan beberapa kriteria seperti peminjam mesti pandai menandatangani (dokumen). Kedua, mesti ada Sahabat AIM sebab mereka tiada penjamin.
"Dalam konteks mikro kredit ini, Prof Yunus memperkenalkan penjaminnya adalah manusia," katanya lagi.
Ditanya tentang keperluan memperluaskan lagi inisiatif AIM terutamanya di Pantai Timur atau Sabah dan Sarawak yang masih banyak golongan miskin, Dr Madeline menggalakannya kerana skim itu perlu diperluaskan untuk membantu golongan memerlukan.
Namun beliau berharap, syarat bayaran balik pinjaman itu kelak lebih dipermudahkan.
Comments