
Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Ketika menulis ulasan ini penulis berada di sebuah kafe di pinggir bandar di Negeri Sembilan. Sengaja penulis mencari ruang untuk `bersunyi-sunyian’ sebentar untuk berkarya.
Namun hajat untuk `bersendirian’ itu terbantut kerana di mana-mana sahaja kafe yang cuba penulis singgahi pasti sudah kelihatan pelanggan-pelanggan menunggu giliran untuk mendapat tempat duduk di kafe tersebut.
Wah ..hebat Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Wajah-wajah ceria pelanggan mencerminkan betapa gembira mereka menyambut hari raya.
Walaupun jam baharu menujukkan pukul dua petang namun kafe tersebut telah diserbu oleh para pengunjung yang datang bertali arus bersama teman atau ahli keluarga masing-masing.
Bukan sahaja pada hari ini (raya kedua) sejak hari raya pertama lagi sebaik sahaja selesai solat Aidilfitri restoran `mamak’ dan restoran makan segera juga menjadi tumpuan.
Raya sedondon dengan warna viral
Tanpa sedar penulis sendiri ralit memerhatikan gelagat pengunjung-pengunjung kafe yang kebanyakan anak-anak lelaki dan wanita yang bergaya dengan pakaian raya masing-masing. Trend bergaya sedondon dengan warna-warna viral yang menjadi pilihan iaitu olive green, royal blue, burgundy, lilac, magenta serta ungu meriahkan lagi Aidilfitri tahun ini.

Hebat sungguh sambutan Hari Raya Aidilfitri sejak PMX menerajui payung besar Kerajaan Madani.
Apatah lagi ini semakin meriah kerana pelbagai bantuan telah disalurkan kepada rakyat negara ini bagi meringankan kos hidup golongan sasar.
Secara ringkasnya untuk dirujuk terlalu banyak nikmat bawah payung besar Kerajaan Madani yang pastinya membawa lebih kegembiraan kepada kebanyakan mereka yang menyambut Aidilfitri kali ini.
Tiada rungutan harga barangan asas
Tahun ini juga hampir tidak ada kedengaran apa-apa rungutan berkaitan harga barangan keperluan asas dan stok barangan tersebut `membanjiri’ pasaraya serta mudah diperolehi.
Jualan Rahmah pula sentiasa aktif di seluruh negara. Paling menarik, harga barang-barang keperluan untuk menyambut Aidilfitri, selain sentiasa mencukup bekalannya tidak terdengar ada rungutan kenaikan harga.

Ayam, daging, telur, beras dan lain-lain barangan didapati dijual lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Penulis sendiri `turun padang’ membuat tinjauan ke beberapa pasaraya serta menemubual pelanggan-pelanggan dua hari sebelum raya. Rata-rata pelanggan amat berpuas hati dengan `harga runtuh’ yang ditawarkan serta membolehkan sajian enak dapat disediakan dengan kos bahan mentah yang mampu beli.
Diskaun tol 50 peratus
Bagi yang bijak merancang perjalanan untuk balik kampung atau ke destinasi pilihan pasti tidak akan berdepan dengan kesesakan jalan raya.
Oleh kerana cuti tahun ini agak panjang mudahlah perjalanan direncanakan. Diskaun tol 50 peratus boleh dimanfaatkan untuk tujuan beraya bersama insan yang tersayang.
Rumusannya, di mana-mana khusus melalui paparan yang ditunjukkan melalui media sosial, jelas tergambar keceriaan rakyat yang lebih berganda.
Berkumpul sambil bergurau ketawa bersama keluarga sambil dihidangkan rendang, ketupat dan lemang yang agak mewah berikutan harga barangan yang terkawal adalah detik kegembiran yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Selain itu pada petang raya, setelah penat berhari raya mengunjung rumah sanak saudara dan kenalan, didapati ramai yang singgah merehatkan minda seketika di kafe-kafe yang mudah didapati di seluruh negara.
Hampir semua kafe yang menjual pelbagai jenis kopi dan teh dikesan tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang silih berganti.
Menyaksikan semua itu, nikmat apakah lagi yang mahu didustakan di Malaysia ini?
Terima kasih PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim. Selamat Hari Raya PMX dan seluruh rakyat Malaysia.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comments