top of page

Ahli parti bayar saman Dr Mastura: Pas amal politik kultus?



Oleh: Akmal Manaf


Tindakan Pas mengadakan kutipan 'Derma Jihad' daripada ahli-ahli dan penyokongnya untuk membayar ganti rugi fitnah yang diputuskan oleh mahkamah kepada Dr Siti Mastura Muhammad amat tidak wajar dan menunjukkan contoh yang buruk.


Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib Hashim berkata keputusan dibuat Pas itu adalah realiti kepada politik jijik yang dimainkan parti berkenaan yang kini semakin menyerupai unsur kultus berbanding parti politik.


"Budaya kultus yang didoktrinkan dalam Pas telah menyebabkan ahli-ahlinya dipaksa untuk menghalalkan segala cara dan tindakan buruk pemimpin mereka.


"Lebih membimbangkan, ahli-ahli yang sudah diracuni dan didoktrinkan pemikiran mereka terpaksa menanggung beban kewangan akibat kesilapan pemimpin mereka sendiri.


"Pertama, mereka membuat fitnah tanpa usul periksa. Kemudian apabila disaman dan kalah di mahkamah mereka meminta ahli-ahli membayar ganti rugi.


"Ini bukan sekadar sikap tidak bertanggungjawab malah mencerminkan amalan kultus yang menindas pengikut untuk menanggung dosa pemimpin," tempelak beliau menerusi satu kenyataan hari ini.


Berdasarkan carian di Pusat Rujukan Persuratan Melayu (prpm.dbp.gov.my) melalui kategori Kamus Dalam Talian, kultus membawa maksud kumpulan agama yang setia kepada pemimpin yang masih hidup, ajaran baharu, atau amalan yang luar biasa.


Dalam pada itu, dakwa Khairol lagi, lebih memalukan apabila surat rasmi Pas Pusat yang ditandatangani sendiri oleh Setiausaha Agung mengarahkan kutipan dengan jumlah-jumlah yang telah siap dinyatakan.


"Kutipan daripada AJK Pas Pusat berjumlah RM500, Dewan-Dewan Pusat/Negeri/Kawasan (RM20,000) dan Pas Kawasan/Cawangan (RM500) untuk membayar ganti rugi fitnah yang berjumlah RM825,000," katanya.


Sedangkan, kata beliau, mahkamah telah membuktikan bahawa Dr Siti telah membuat kenyataan fitnah dengan niat jahat, menggunakan sumber yang tidak sahih, tanpa pengesahan dan tidak seharusnya kesalahan itu ditanggung ahli parti.


"Sebagai pemegang PhD yang kononnya memahami kaedah penyelidikan, beliau sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam membuat kenyataan.


"Politik berprinsip tidak memerlukan fitnah, pembohongan dan apabila tertangkap menipu, jangan membebankan ahli


"Inilah bahayanya apabila sebuah parti politik berubah menjadi kultus, pemimpin kebal dari kesalahan, pengikut wajib patuh


"Masyarakat perlu sedar bahawa corak pemikiran sebegini amat berbahaya untuk masa depan politik negara.


"Ia bukan sahaja menafikan prinsip kebertanggungjawaban pemimpin, malah mendidik pengikut untuk terus-menerus menjadi mangsa manipulasi elit politik yang tidak bertanggungjawab," katanya lagi.


Pada 4 Disember lalu, Dr Siti Mastura yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi George Town agar membayar ganti rugi berjumlah RM825,000 kepada veteran serta pemimpin DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok atas kenyataannya mengaitkan mereka mempunyai pertalian dengan pemimpin komunis, mendiang Chin Peng.


Mahkamah memerintahkan Dr Siti Mastura membayar ganti rugi RM350,000 kepada Kit Siang, Guan Eng (RM250,000) dan Teresa (RM200,000) serta kos berjumlah RM25,000 bagi setiap seorang mereka.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page