Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari hari ini menziarahi jenazah mangsa kemalangan jalan raya yang melibatkan 3 anggota Dewan Muslimat Pas di Lebuhraya Utara - Selatan semalam.
"Hadir bersama menyempurnakan urusan solat jenazah kepada mangsa kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara - Selatan berhampiran Behrang, Perak semalam yang mengorbankan tiga nyawa iaitu Ketua Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Ketua Ameerah Sungai Petani serta PSU 1 Dewan Muslimat Pas, Sungai Petani.
"Jenazah disembahyangkan di Masjid Kg Telok Wang yang juga dihadiri oleh ramai orang. Semoga ianya menjadi asbab dikurniakan tempat yang mulia disisi Yang Maha Esa," katanya.
Pada Jumaat, 3 ahli Dewan Muslimat Pas yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Muktamar Tahunan ke-69 di Shah Alam meninggal dunia selepas terlibat dalam nahas 6 kenderaan di Kilometer 390 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Tanjung Malim, Perak.
Mangsa ialah Fatihah Nabila Bukri, 23, yang merupakan Ketua Unit Khas Wanita Muda Pas Sungai Petani; Ketua Muslimah Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, dan Penolong Setiausaha 1 Pas Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi, 27.
Fatihan Nabila dan Taibah meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Nurul Najihah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Slim River.
Comments