Oleh: Akmal Manaf
Perbahasan Belanjawan 2025 telah masuk minggu kedua, malangnya pihak pembangkang masih tidak mengumumkan belanjawan alternatif atau kerangka utama yang diperjuangkan mereka untuk menjaga kepentingan rakyat.
Hujah pembangkang masih seputar mengkritik kerajaan secara semberono mengenai pertambahan hutang negara dan penyasaran subsidi yang didakwa merugikan rakyat.
Menurut Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar, kegagalan pihak pembangkang mengutarakan kerangka utama belanjawan alternatif adalah kerana mereka tidak berkualiti dan kurang arif mengenai strategi kewangan.
Sebaliknya, kata beliau, pembangkang hanya bercakap mengenai peruntukan parlimen yang mereka sendiri tidak mahu meneruskan rundingannya bersama Kerajaan Madani.
"Mereka tiada kualiti.. mereka tidak mampu menyediakan belanjawan alternatif walaupun dicabar oleh ahli-ahli parlimen Kerajaan Madani.
"Mereka masih bercakap antaranya soal peruntukan sedangkan mereka sendiri yang tolak (perkara itu).
"Isu BlackRock pun masih diulang-ulang lagi sedangkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mahu meningkatkan saham dengan membeli saham luar sehingga 70%.
"Ini bermaksud, pihak MAHB mahu membeli dan bukan menjual," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau diminta mengulas mengenai tahap kualiti blok pembangkang yang mengkritik Kerajaan berkenaan polisi kewangan negara, sedangkan dalam Belanjawan 2025 kerajaan cuba membendung inflasi dan mengukuhkan kedudukan fiskal selepas pentadbiran sebelum ini menambah hutang sehingga RM1.5 trilion dan melemahkan kedudukan kewangan.
Hal itu turut diungkap oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang mencabar di Dewan Rakyat, sekiranya pembangkang berkata dasar penyasaran subsidi dan mengawal hutang negara pada waktu ini membebankan rakyat maka pembangkang perlu mencadangkan dasar alternatif untuk dipertimbang oleh pihak kerajaan.
Comments