Delegasi Malaysia membabitkan lima Ahli Parlimen berjaya tiba di sempadan lintasan Rafah semalam bagi melihat dengan lebih dekat situasi sebenar akses koridor kemanusiaan tunggal ke Gaza melalui Mesir termasuklah bantuan negara ini di bawah Ops Ihsan.
Kehadiran mereka juga bertujuan memantau penghantaran bantuan kemanusiaan Malaysia bagi fasa kedua dalam bentuk 100,000 pek makanan asas yang sedang giat dilaksanakan di gudang Ops Ihsan di Kaherah.
Lawatan yang diketuai Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin turut disertai Ketua Kaukus Palestin di Parlimen Syed Ibrahim Syed Noh yang juga Ahli Parlimen Ledang dari KEADILAN, Ahmad Tarmizi bin Sulaiman (Pas-Sik), Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) dan Senator Datuk Wira Dr. Mohd Hattta Md. Ramli (AMANAH).
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata rombongan mereka tiba di sempadan Rafah pada pukul 4.45 petang selepas melalui perjalanan hampir 13 jam dari Kaherah melalui 13 pemeriksaan keselamatan pihak Mesir yang cukup ketat.
"Sejurus tiba di pintu sempadan Rafah, saya telah ditemuramah oleh dua agensi berita Mesir iaitu Al Qaherah News dan Extra News. Semasa sesi temuramah berlangsung, jelas kedengaran bunyi dentuman roket dari dalam wilayah Semenanjuna Gaza," kata beliau dalam hantarannya di Facebook hari ini.
Kata beliau selain dapat melihat dengan lebih dekat proses kemasukan trak-trak bantuan kemanusiaan dari Mesir ke Gaza, delegasi Malaysia juga berpeluang menyaksikan proses pemindahan rakyat Palestin dari Gaza ke Mesir yang memerlukan rawatan dan akses perubatan yang dikendalikan bersama antara Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dengan rakan strategik antaranya seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.
"Lebih penting lagi keberadaan kami memperlihatkan kepada dunia, kesepakatan rakyat Malaysia tanpa mengira kepercayaan dan parti politik akan pendirian dan sokongan tidak berbelah bagi Malaysia dalam memperjuangkan isu Palestin," ujarnya.
Sepanjang perjalanan ke Rafah, delegasi itu melihat barisan hampir 3,000 ribu trak bantuan kemanusiaan yang menunggu giliran di sepanjang pinggir jalan raya menuju Rafah yang hampir empat kilometer panjangnya.
"Lawatan ini juga sebagai pengiktirafan kepada peranan konstruktif Mesir dalam mencari solusi perdamaian konflik Israel-Palestin serta dalam mengendalikan akses koridor kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza pada ketika ini.
"Moga lawatan ini akan mendorong Mesir dan masyarakat antarabangsa amnya, untuk mencari penyelesaian tuntas kepada isu Palestin," ujarnya.
Comments