Oleh: Akmal Manaf
Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan syabas kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan pimpinannya di atas prestasi ekonomi negara yang membanggakan.
Dalam titah perasmian di Parlimen hari ini, Sultan Ibrahim berharap prestasi membanggakan itu akan dapat dipertingkatkan lagi.
''Saya bersyukur melihat kemampanan ekonomi termasuk prestasi ekonomi domestik dan pelaburan negara yang semakin bertambah baik.
''Nilai Ringgit kembali kukuh dan kadar pengangguran kekal rendah. Pada tahun lalu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah mencapai 5.9 peratus dalam pelbagai sektor dan jumlah perdagangan negara telah melepasi angka RM2 trilion untuk tempoh 9 bulan pertama.
''Namun begitu, kerajaan hendaklah menentukan agar prestasi baik ini membawa nikmat kemakmuran kepada seluruh rakyat dan bukan hanya memberi keuntungan kepada kumpulan tertentu sahaja,'' titah baginda sewaktu merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15, hari ini.
Dalam pada itu, baginda turut menghargai peranan yang telah dimainkan oleh semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik kerana ianya telah menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial negara.
Sultan Ibrahim juga menitahkan Ahli Parlimen agar menghentikan tindakan bermain politik dalam setiap isu.
Baginda bertitah, Parlimen merupakan dewan perhimpunan paling utama yang menjadi gelanggang pertemuan suara rakyat, tempat undang-undang digubal dan menjadi medan semak serta imbang terhadap pentadbiran negara.
''Parlimen bukan tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah tetapi ia adalah dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
''Ahli Yang Berhormat hendaklah menjadi benteng perpaduan negara dan bukannya ejen perpecahan rakyat,'' titah baginda lagi.
Mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-15 bermula hari ini.
Sebelum bertitah di Dewan Rakyat, yang di-Pertuan Agong berangkat ke dataran Parlimen bagi menerima sembah hormat diraja oleh pasukan kawalan kehormatan utama, Batalion Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Sungai Besi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, barisan Jemaah Menteri dan ketua perwakilan asing menghadiri istiadat pagi tadi.
Berdasarkan takwim di laman sesawang rasmi Parlimen, selain pembentangan usul menjunjung kasih dan perbahasan titah diraja, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 18 hari akan membahaskan usul berkenaan selama tujuh hari mulai 4 Februari.
Sidang Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Februari.
Comments