Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim memandang serius isu berkaitan buli siber dan melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan cara agensi-agensi berkaitan menangani isu tersebut.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Anwar dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat menyatakan PM telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar bersikap lebih tegas dalam mengambil tindakan terhadap jenayah buli siber.
Jelasnya lagi, beberapa langkah utama sudah dibincang dengan Jemaah Menteri tentang cara menangani buli siber termasuk meneliti pindaan undang-undang sedia ada, meneliti keperluan untuk menggubal akta baharu, serta aspek pengurusan kelancaran hubungan antara MCMC dan PDRM.
"Kadangkala pengadu pergi ke balai polis buat laporan, kemudian mereka diminta buat laporan di MCMC. MCMC pula minta mereka buat laporan polis dan perkara itu berulang.
"Masalah ini telah dikenal pasti dan MCMC serta PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah telah bersetuju untuk meneliti bagi memudahkan proses laporan dibuat," katanya dipetik.
Isu buli siber kembali hangat diperkatakan susulan kejadian menimpa Esha atau nama sebenarnya A Rajeswari didakwa meninggal dunia akibat membunuh diri kerana tidak tahan diganggu buli siber.
Mayat pempengaruh wanita 29 tahun itu ditemui di rumahnya kira-kira 11 pagi, 5 Julai lalu.
Polis telah menahan dua suspek bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib).
Comments