Oleh: Akmal Manaf
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan hari ini menyelar kenyataan dikeluarkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berhubung prestasi tidak cemerlang Pakatan Harapan (PH) selepas membentuk kerajaan.
Ketua Penerangan AMK Wilayah Persekutuan, Muhammad Azha Salahudin menyifatkan, tidak adil jika agenda reformasi dikatakan gagal sedangkan Kerajaan Perpaduan baru berusia dua tahun.
Katanya, MUDA sepatutnya membuat semakan dan penilaian dengan merujuk data serta fakta yang tepat secara keseluruhan, dan bukan mengeluarkan kenyataan tidak matang.
"Agenda reformasi tidak boleh dilihat dalam tempoh masa singkat kerana ia perlu melibatkan pelbagai kajian dan pandangan daripada pelbagai pihak agar tidak memudaratkan rakyat dan negara.
"Agenda reformasi yang dilaungkan pemimpin PH tidak pernah terpadam atau membisu, bahkan terus diperjuangkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh dua tahun ini," bidas beliau menerusi satu kenyataan.
Menurut Muhammad Azha, terdapat banyak agenda reformasi dan perubahan yang telah dilaksanakan Kerajaan Perpaduan termasuk daripada segi politik, pentadbiran dan ekonomi.
Antara perubahan yang telah dilakukan katanya, adalah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (2024) berkaitan isu kewarganegaraan yang telah memberi kelegaan kepada kaum wanita yang melahirkan anak di luar negara.
"Selain itu, pemimpin PH juga terus komited dalam memastikan Kebajikan rakyat terpelihara dengan meningkatkan kadar bantuan kepada rakyat melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak RM13 bilion.
"Agenda reformasi juga dapat dilihat melalui peningkatan hasil dan ekonomi negara yang kian bertambah, bahkan pelaburan negara juga telah menunjukkan peningkatan yang sangat membanggakan iaitu RM254.7 bilion dalam sembilan bulan pertama tahun 2024," ujarnya lagi.
Terdahulu, MUDA menerusi Ketua Penerangan Wilayah Persekutuan, Shah Fariq Aizal Sha Ghazni menyifatkan tidak ada apa yang boleh dibanggakan berkenaan prestasi PH selepas membentuk kerajaan sehingga kini.
Memetik media tempatan, beliau turut mempersoalkan reformasi yang dilaung-laungkan PH sebelum ini yang disifatkan kini hanya sekadar slogan.
Ujar beliau, rakyat yang bijak menilai akan bertanya apa yang sudah terjadi kepada pemimpin yang dulunya bersumpah untuk membawa perubahan, tetapi kini selesa dengan kuasa yang ada.
Comments