
Semua aduan berkaitan jalan berlubang di Wilayah Persekutuan, khususnya di Kuala Lumpur perlu diselesaikan dalam tempoh 12 jam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau yakin perkara itu dapat dicapai melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pemantauan langsung berkaitan penyelenggaraan bandar.
"Ketika ini saya difahamkan aduan mengenai jalan berlubang diselesaikan dalam tempoh 24 jam," katanya dipetik.
Dr Zaliha ditemui pada Majlis Aspirasi Bersama Warga Jabatan Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi di Putrajaya pada Rabu.
Sementara itu beliau menjelaskan, usaha proaktif itu bukan sahaja selaras 'dasar sifar lubang' di kawasan pentadbiran Wilayah Persekutuan.
Malah lebih penting ia bagi memastikan keselamatan pengguna terutama Malaysia berperanan sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun dan Tahun Melawat Malaysia 2026 pada tahun hadapan.
Susulan itu beliau menyeru orang awam menyalurkan aduan berhubung jalan berlubang kepada Adu@KL atau mana-mana saluran aduan agensi yang menjadi ahli "KL Strike Force".
Dalam pada itu Dr Zaliha turut memaklumkan tingkat keselamatan di Kuala Lumpur bakal ditingkatkan dengan pemasangan 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) yang canggih dan dilengkapi Al.
"CCTV ini bukan sahaja akan meningkatkan tahap keselamatan awam tetapi juga akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan termasuk pemantauan secara proaktif dan tindakan lebih pantas kepada situasi kecemasan, insiden trafik mahu pun aktiviti jenayah," katanya.
Comments