Adakah Kerajaan Hari Ini Zalim?
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 4 min read

Oleh: Shahbudin Embun
ULASAN: Adakah kerajaan hari ini begitu zalim hinggakan sering mengambil tindakan keras terhadap pengamal media pembangkang yang menyerang kerajaan? Sebelum kita mengupas isu ini, apa kata, kita baca dulu senario di bawah ini.
Hari ini pelbagai isu boleh diperdebat dan dibincangkan di media sosial. Bahkan media sosial boleh dianggap seperti sebuah mahkamah untuk menjatuhkan hukuman pada sesuatu isu itu. Dan para hakimnya terdiri daripada anda, para pembaca serta warga net yang boleh memberikan pelbagai pandangan dan keputusan. Secara tidak langsung, anda semua menjadi hakim dan seolah-lah bolah menjatuhkan hukuman.
Bezanya mahkamah internet dengan mahkamah tulen, ialah di mahkamah internet, anda boleh membaca dan memberikan pelbagai hujah tanpa perlu menunjukkan sebarang bukti untuk menyokong hujah tersebut. Ini bermakna setiap persepsi, teori atau kata kata 'hearsay' sudah cukup untuk mempengaruhi pembaca internet ini dan merekalah nanti yang akan menjatuhkan hukuman dan menyebarkan pandangan yang anda hujahkan itu, walaupun tidak dilengkapi dengan bukti yang jelas dan nyata.
Jika di mahkamah betul, setiap hujahan tanpa disertakan bukti yang kukuh, tidak akan diterima oleh mahkamah.
Media sosial terlalu berkuasa
Perbandingan antara dua mahkamah ini ialah sekadar untuk menunjukkan betapa berkuasanya media sosial dalam mempengaruhi fikiran dan keputusan kita semua. Kita tidak boleh nafikan masyarakat hari ini lebih suka dan percaya pada sesuatu yang sensasi dan sensitif. Bahkan ada di antara kita yang suka jika ada pihak yang dilaga-lagakan dan kita semua menjadi penonton dan bersorak di luar.
Mereka tidak meneliti atau memeriksa dari mana sumber ini diperolehi. Kemudian mereka akan membuat komen berdasarkan kepada sesuatu yang tidak diketahui kesahihannya. Dan selepas itu, akan disebarkan kepada satu dunia untuk membaca dan menilainya. Itulah hakikat yang berlaku pada hari ini.
Bagi pembaca yang bijak, sudah pasti dapat membezakan mana yang sahih dan mana yang dibuat mengikut persepsi masing masing. Manakala bagi mereka yang malas dan yang hanya percaya bulat-bulat, akan terus percaya dan memburukkan lagi keadaan apabila turut menyebarkan berita itu .

Sekarang ini ialah zaman digital dan Chat GPT serta pelbagai lagi elemen AI sudah mula memainkan peranan lebih penting dalam penulisan serta pembikinan video yang berkaitan dengan media sosial. Bayangkan jika kesemua elemen AI ini disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk memporak perandakan keharmonian masyarakat di negara kita.Perkara ini telah berlaku dan walaupun selepas itu kebenaran dapat dibuktikan, tetapi kerosakan telah dilakukan. Dan bagi yang menyebarkannya, matlamat mereka telah tercapai.
Maka kembalilah kita kepada persoalan yang dikemukakan di atas. Adakah kerajaan hari ini begitu zalim hinggakan sering mengambil tindakan keras terhadap pengamal media pembangkang yang menyerang kerajaan?
Kritikan terhadap kerajaan ada di mana mana
Pastinya pihak pembangkang setuju yang kerajaan hari ini telah menyekat kebebasan dan pengamal media sosial yang melakukannya telah diberikan tindakan keras, sebaik sahaja kerajaan dikritik.
Namun hakikatnya, pada hari ini, kritikan terhadap kerajaan masih kita dapat baca di media-media arus perdana yang menyiarkan luahan dan rasa tidak puas hati beberapa pemimpin pembangkang. Masih ada ruangan untuk mereka menyatakan pandangan mereka, walaupun sebelum ini begitu keras mengkritik kerajaan.
Perlu juga kita ingatkan bahawa, dalam era maklumat hari ini yang semakin canggih, keupayaan masyarakat untuk membaca dan mengkaji sesuatu isu itu secara terbuka dan objektif amat penting agar kebebasan media dan kepentingan rakyat dan masyarakat dapat diseimbangkan secara adil dan saksama.
Untuk bertindak adil, ada kritikan golongan ini yang sememangnya boleh dibincangkan dengan hati yang terbuka. Contohnya apabila kerajaan memperkenalkan sesuatu dasar dan tidak dipersetujui oleh golongan pembangkang. Kita dapat lihat isu ini dibincangkan oleh pihak pembangkang dalam mana mana media sosial, termasuk di arus perdana. Pandangan mereka tidak disekat.Semua orang boleh membacanya.
Dan pihak kerajaan nampaknya masih boleh bertolak ansur dan menggunakan media untuk membalas balik setiap kritikan yang dilontarkan itu. Dalam hal ini kerajaan merasakan perdebatan dan perbincangan di media masih merupakan ruang dan kaedah yang sihat untuk membincangkan sesuatu isu itu.
Namun pada masa yang sama, ada pihak yang menggunakan peluang ini untuk menyemarakkan lagi kebencian, kononnya kerajaan tidak beri muka dan peluang kepada pihak pembangkang menyatakan rasa tidak puas hati mereka.
Itu sebabnya juga ada juga pihak pro kerajaan yang merasakan kerajaan terlalu memberi muka kepada golongan ini yang ternyata hanya berminat memberikan komen dan kritikan yang lekeh dan bukannya kritikan yang positif dan membina.
Golongan ini merasakan pihak pembangkang lebih mengutamakan isu-isu sensasi untuk menghentam kerajaan sehinggakan kesahihan berita tersebut boleh dipertikaikan.
Dan pastinya mereka mahukan tindakan yang lebih keras diambil kepada pengamal media pembangkang yang menyerang kerajaan tanpa memberikan sebarang bukti yang sahih dan hanya menyerang mengikut emosi hinggakan ada ayat-ayat yang dilontarkan juga tidak sesuai untuk golongan muda membacanya.
Masyarakat perlu peka bezakan kritikan adu domba
Kesimpulan daripada artikel ini ialah, tidak ada salahnya kerajaan diserang dengan kritikan yang berdasarkan pada fakta . Ini akan memperkayakan lagi budaya demokrasi di negara kita dan membentuk lebih ramai rakyat yang akan berfikiran secara kritikal dan bijak dalam membuat sesuatu keputusan.
Sungguhpun begitu, pihak kerajaan perlu mengambil sikap berhati-hati juga dan jangan biarkan kritikan itu tidak dikawal sehingga boleh mengundang kepada perbuatan fitnah.
Pada masa yang sama juga, masyarakat mesti terus dididik untuk membezakan antara kritikan dan fitnah atau berita palsu. Itu sebabnya bagi yang menyiar dan menyebarkan fitnah mesti diambil tindakan yang lebih tegas. Permohonan maaf sahaja tidak memadai kerana ramai yang merasakan perangai memohon maaf setelah menyebarkan fitnah tidak cukup untuk menghalang si pelaku melakukan lagi perkara yang sama.
Saya tertarik juga dengan satu pandangan dari seorang profesor di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia , Mohd Mizan Aslam yang berpendapat langkah prevent and counter (mencegah dan melawan) harus dilaksanakan bagi mengelakkan situasi bertambah buruk.
Dalam hal ini, sebenarnya kerajaan tidak pernah bersikap zalim untuk menyekat kebebasan bersuara, asalkan apa yang diluah dan disuarakan itu berdasarkan pada maklumat dan fakta yang tepat dan bukannya berdasarkan pada sumber palsu atau pembohongan jahat yang boleh menyemai perpecahan antara masyarakat di negara kita.
Penulis merupakan penganalisis politik merangkap Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat
Comentarios