Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyokong penuh pindaan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Akta 585) dan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Akta 505) yang diusahakan oleh Kerajaan Madani.
Menurut Timbalan Presiden ABIM, Ustaz Dr Mohd Faridh Hafez Mohd Omar, pindaan berkenaan merupakan langkah penting dalam memodenkan sistem perundangan Islam di Malaysia, khususnya memperkukuhkan pengurusan dan pentadbiran Mahkamah Syariah di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
"Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan di bawah pentadbiran Malaysia Madani dalam memperkasakan institusi kehakiman Syariah serta agama yang sedang berlaku di negara ini.
"Ia juga selaras dengan prinsip maqasid syariah, yang menekankan keadilan dan kemaslahatan umat," katanya dalam kenyataan.
Tegas Dr Faridh lagi, langkah tersebut juga membuktikan suburnya perkembangan Islam di Malaysia seperti yang terjamin di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Susulan itu, katanya, komitmen pentadbiran Malaysia Madani di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu disokong dan diyakini sepenuhnya oleh umat Islam di negara ini.
Comments