
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memanfaatkan sekitar 91,000 hektar tanah terbiar di Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor dengan tanaman padi, selain membuka kawasan jelapang padi baharu di Sarawak dan Sabah.
Menteri KPKM Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu bagi mengurangkan kebergantungan kepada beras import selain menjadi usaha penting dalam mengurangkan impak dari bencana banjir yang sering melanda kawasan jelapang padi seperti Kedah dan Kelantan.
"Kita perlu berusaha memastikan bekalan beras mencukupi kerana kita akan menghadapi masalah jika terus bergantung kepada beras import.
"Fokus kementerian adalah mengusahakan kawasan sawah padi terbiar atau yang berpotensi, terutama di kawasan luar jelapang padi seperti Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor," katanya dipetik selepas lawatan turun padang ke Skim Padi Terachi Batu 14, Kampung Gedang, Kuala Pilah pada Sabtu.
Menurut Mohamad Sabu, kawasan tersebut yang mahu dibangunkan kembali sebagai kawasan jelapan padi memerlukan sistem pengairan yang mencukupi, yang menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Sehubungan itu jelasnya, Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini sedang berusaha memastikan sistem pengairan yang baik disediakan di kawasan berpotensi untuk diusahakan penanaman padi.
Sebagai rekod, sebanyak 3,584 metrik tan hasil pengeluaran padi telah direkodkan daripada kawasan bertanam seluas 786.5 hektar di Negeri Sembilan pada tahun ini.
Kawasan sawah padi di Negeri Sembilan yang diusahakan kini dianggar berkeluasan 1,828 hektar, dengan 14 skim pengairan.
Jabatan Pertanian Negeri menerusi satu kenyataan memaklumkan, kawasan yang diusahakan dianggar berkeluasan 1,828 hektar dengan 14 skim pengairan melibatkan 182 pengusaha di kawasan Kuala Pilah, Jelebu, Jempol, dan Tampin.
"Sawah padi negeri ini menerima insentif sebanyak RM1.455 juta di bawah Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2024, iaitu mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar dengan kerjasama Kerajaan Negeri manakala program peningkatan hasil padi negeri pula dimanfaatkan sebanyak RM450,000," kata jabatan itu.
Comentarios