Sembilan lokasi telah dikenal pasti untuk projek rintis Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) yang menyediakan kemudahan selesa kepada mangsa dan petugas bencana banjir.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lokasi itu adalah di Kelantan, Johor, Pahang, Terengganu, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak dan Sabah.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata, pihaknya akan menilai keberkesanan projek tersebut dan sekiranya berjaya akan diperluas ke seluruh negeri dan daerah berdasarkan zon aktif bencana lima tahun terakhir.
"Di Terengganu, PPKB sedang dilaksanakan di SK Banggol Paradong, Kuala Terengganu, dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan.
"Projek ini ditender pada 15 Oktober 2024 dan ditutup pada 11 November 2024, dengan jangkaan SST pada Disember 2024," katanya dipetik di Dewan Rakyat pada Rabu.
Semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Ahmad Zahid turut menyifatkan kerajaan MADANI telah menunjukkan keprihatinan terhadap pengurusan bencana yang lebih baik dan berkesan.
Ia terbukti apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM600 juta untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai persiapan mendepani musibah banjir. termasuk lebih RM300 juta yang telah disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.
Comments