Sebanyak 570 sekolah tahfiz persendirian di negeri Selangor sudah menyertai program pemutihan yang dilaksana kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, program pemutihan bertujuan membantu pusat tahfiz itu mendapatkan lesen dengan syarat memenuhi ciri keselamatan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Apabila menyertai program pemutihan dan mematuhi semua syarat ditetapkan seperti pintu kecemasan dan alat pemadam kebakaran disediakan serta melaksanakan latihan kebakaran, sekolah itu dapat kebenaran merancang (KM) dan lesen operasi sah seperti sekolah biasa.
"Kita mahu bantu mereka beroperasi dengan ciri keselamatan yang baik dan sah.
"Bukan hanya lesen beroperasi, kerajaan negeri akan bantu bayaran konsultansi, bantuan buku teks kepada pelajar dan guru sementara untuk mengajar di sekolah itu," katanya dipetik.
Beliau yang juga ADUN Seri Setia sementara itu menjelaskan, sekolah tahfiz di Selangor membabitkan dua kategori iaitu sekolah dipantau dan berada di bawah pentadbiran penuh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta sekolah tahfiz persendirian.
"Jika di bawah JAIS, contohnya Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS), keselamatan bangunan dan asrama sekolah dibuat dengan penubuhan sebuah jawatankuasa keselamatan pada peringkat sekolah. Jawatankuasa ini diwajibkan membuat taklimat keselamatan setahun sekali dengan kehadiran bomba.
"Bagi tahfiz persendirian,pemantauan keselamatan dibuat jemaah pengurusan sekolah tetapi tertakluk kepada Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 oleh JAIS," jelasnya.
Dalam pada itu beliau menggesa semua pengusaha sekolah tahfiz persendirian tidak sangsi dan syak wasangka dengan tujuan kerajaan negeri melakukan pemutihan bagi memastikan pemantauan dapat dilakukan, sekali gus pelajar serta guru selamat.
Comentarios