Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Jumaat menyempurnakan penyampaian sumbangan RM50,000 oleh Yayasan MyPrihatin.
Sumbangan bersempena Program Sumbangan Back to School anjuran bersama Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Prai Tengah itu membabitkan 500 pelajar dari 35 sekolah rendah dan menengah di bawah Parlimen Permatang Pauh.
Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata inisiatif oleh Yayasan MyPrihatin membuktikan bahawa pelbagai pihak amat mementingkan kebajikan anak-anak yang bersekolah
Beliau turut menyifatkan kerjasama strategik tersebut sebagai 'langkah bijak' dalam memastikan lebih banyak sumber dapat disatukan untuk manfaat lebih ramai pihak.
"Kita semua sedar bahawa tanggungjawab ini bukan hanya digalas oleh pihak kerajaan dan yang paling penting, manfaatnya benar-benar sampai kepada kumpulan sasar yang memerlukan.
"Saya yakin lebih banyak program sebegini akan diadakan sepanjang cuti persekolahan ini, insya-Allah manfaatnya untuk anak-anak kita, pewaris bangsa dan negara selari dengan prinsip Ihsan dalam agenda Malaysia Madani," katanya dipetik.
Sementara itu, Dr Wan Azizah menasihati pelajar agar memanfatkan cuti persekolahan dengan membuat pengisian yang bermakna.
Ini kerana jelasnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar anak jati Permatang Pauh sendiri amat mementingkan pendidikan sebagai asas untuk membina sebuah masyarakat yang maju.
"Ia termasuk melalui peruntukan terbesar dalam belanjawan negara yang disalurkan melalui Kementerian Pendidikan.
"Ini mencerminkan visi beliau untuk memastikan anak-anak kita mendapat akses pendidikan yang berkualiti demi membentuk generasi baharu yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara, khususnya mengikut acuan agenda Membangun Malaysia Madani yang mementingkan keseimbangan pembangunan fizikal dan juga sosial," katanya.
Comments