Oleh: Akmal Manaf
Kira-kira 500 peserta berkumpul di perkarangan Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak hari ini bagi menzahirkan solidariti terhadap rakyat Palestin yang dizalimi rejim Israel.
Mereka berhimpun sejak selepas solat Jumaat dalam "Himpunan Mega Rakyat Malaysia Bangkit Free Palestin" anjuran Parti Amanah Negara (AMANAH) di jalan menuju bangunan Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.
Acara Sempena Setahun Taufan Al-Aqsa itu bermula di Menara Tabung Haji, sebelum peserta berarak beramai-ramai menuju bangunan Kedutaan AS.
Antara individu yang hadir adalah Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu; Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH, Abbas Azmi dan Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.
Turut kelihatan adalah Penasihat Umum AMANAH, Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang dan beberapa tokoh NGO.
Dalam perarakan itu, peserta turut melaungkan 'Free Palestin!', Hancur Israel! beberapa kali sebagai tanda protes terhadap genosid yang dilakukan rejim itu.
Peserta himpunan juga berarak sambil mengibarkan bendera Palestin dan Malaysia serta membawa plakad solidariti bersama Palestin.
Comments