Oleh: Azuan Ab Rahman
Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan telah mengagihkan RM457,000 bantuan pendidikan kepada 429 pelajar cemerlang Kuala Lumpur.
Yayasan itu melalui satu kenyataan pada Ahad berkata, bantuan diagihkan pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2024 Wilayah Persekutuan bertempat di Rumah Puspanita, Kuala Lumpur.
"Majlis ini bertujuan untuk meraikan pelajar cemerlang dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang telah mencapai kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2023.
"Ia juga bertujuan untuk meningkatkan motivasi dan semangat pelajar lain agar terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum," kata kenyataan tersebut.
Sumbangan pendidikan disalurkan merangkumi pelbagai kategori dan skim termasuk Anugerah Pelajar Cemerlang, Skim Biasiswa IPTA, Skim Bantuan Awal ke IPT, Skim Biasiswa Sekolah Menengah dan Dermasiswa Sekolah Menengah.
Ia disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa yang merupakan pengerusi YWP.
Sementara itu Dr Zaliha melalui ucapannya menegaskan, pendidikan merupakan salah satu fokus utama beliau sebagai Menteri Wilayah Persekutuan yang dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam mengangkat masyarakat kurang bernasib baik, termasuk golongan miskin tegar.
"Pendidikan adalah tunjang kepada pembangunan sesebuah negara dan ketamadunan. Ia bukan sahaja membentuk individu, malah turut mencorakkan masyarakat dan ekonomi negara.
"Pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan masa hadapan negara serta ia adalah tanggungjawab kita bersama untuk memastikan sistem pendidikan kita adalah yang terbaik," katanya.
Комментарии