Oleh: Abdullah Zaid
Penyebaran pandangan mahupun kandungan berbaur kebencian membabitkan elemen perkauman, agama dan Institusi Diraja (3R) di media sosial masih berlarutan dan perlu dihentikan segera.
Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Dr Mohd Fauzi Fadzil berkata, kelaziman pihak tertentu menyentuh sensitiviti 3R di platform media sosial yang kian berleluasa perlu dipatahkan dengan pendidikan penggunaan ruang siber.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak lebih bertanggungjawab dalam memuat naik atau berkongsi kandungan daripada terjebak menyebarkan elemen 3R yang amat pantas terutamanya menggunakan peranti telefon pintar.
"Berbanding dahulu kita lebih bergantung kepada media massa (televisyen, radio, akhbar) tetapi keadaan sekarang sudah berbeza di mana penyebaran maklumat lebih banyak dikongsi dalam media sosial.
"Jadi tahap pemahaman yang kurang dalam kalangan rakyat menyentuh isu 3R ini perlu diadvokasi melalui saluran yang betul bukannya melawan melalui makian (balas) dan kata-kata kesat," ujarnya.
Jelas beliau, sekiranya semua pihak berperanan menjalankan tanggungjawab berpandukan undang-undang sedia ada maka isu-isu 3R akan dapat dikawal dengan lebih efektif.
"Sekiranya semua orang mainkan peranan dan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang menyentuh isu 3R, undang-undang sedia ada ini sudah cukup untuk membendung perkara ini daripada terus berlaku," ujarnya.
Selain itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan propaganda berleluasa isu stoking tertera kalimah Allah didalangi pihak tertentu, Fauzi berkata, tindakan tegas daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu disusuli bagi menangani masalah tersebut.
"Kita dapati tiada bukti setakat ini insiden yang berlaku seolah-olah dirancang, setakat ini semua laporan telah dilakukan jadi biar pihak polis lalukan siasatan," katanya lagi.
Comments