Para pejuang Reformasi sewajarnya berbangga kerana berjaya menobatkan Bapa Reformasi, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 10 (PMX).
Bagaimanapun, bagi Pengerusi Sekretariat Reformis Madani Malaysia, Mohd Khairul Annuar Othman, memori perjuangan tersebut harus terus disebarkan kepada generasi muda bagi meneruskan arus agenda reformasi di dalam negara.
"Kita semua sebelum berada di dalam KEADILAN atau Pakatan Harapan, kita berjuang untuk melakukan perubahan. Di kalangan kita ada yang kaya, miskin, orang kecil dan orang besar, berjuang tidak mengharapkan harta, kuasa atau pangkat. Perjuangan kita untuk membawa perubahan dan meletakkan keadilan di tempat yang sebetulnya.
"Kita bergerak dari Masjid Negara, Dataran Merdeka, Sogo, Masjid Kg Baru. Kita dipukul, dipijak, ditembak air gatal. Ini perjuangan kita yang harus diingat.
"Kita jadikan satu memori dalam kehidupan kita," katanya pada ‘Majlis Memperingati Gelombang Reformasi 26 Tahun’ di kediaman Menteri Besar Selangor, malam tadi..
Justeru, menurut Khairul, selepas berjaya menobatkan Datuk Seri Anwar sebagai PMX perjuangan seterusnya adalah mengekalkan Kerajaan Perpaduan Madani yang ditubuhkan pada November 2022 lalu untuk kekal memerintah sehingga habis penggal dan Datuk Seri Anwar diangkat sekali lagi sebagai PM pada Pilihan Raya Umum akan datang.
"Sebelum ulang tahun ke 26 ini kita telah menobatkan tokoh yang kita sayangi Datuk Seri Anwar sebagai PM Malaysia.
"Perjaungan itu sejarah kita. Yang penting hari ini bagaimana kita nak pertahan kerajaan Selangor dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan Madani di bawah Datuk Seri Anwar. Inilah matlamat kita," katanya.
Sehubungan itu, Khairul berkata, beliau dan rakan rakan telah berusaha menubuhkan Sekretariat Reformis Madani Malaysia (SRMM) untuk membantu para reformis dan dengan itu gerakan reformasi selepas ini dijangka akan lebih tersusun untuk mempertahnakan kemenangan dan pemerintahan.
Comentarios