26 tahun KEADILAN: Cabaran mengurus parti di Sarawak
- Suara Keadilan
- 10 hours ago
- 1 min read

Ulang tahun ke 26 KEADILAN disambut oleh semua anggota tidak terkecuali di Sarawak.
Bagi Calon Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang, Senator Abun Sui Anyit, pelbagai ranjau dan onak duri yang dilalui sepanjang dua dekad lalu dalam menubuh dan mempertahankan KEADILAN di Sarawak, terutama di kawasan terpencil seperti Hulu Rajang telah memberi banyak pengalaman dan mematangkan anggota.
Katanya, pada peringkat awal beliau dan rakan rakan hanya mengadakan mesyuarat penubuhan cabang secara rasmi di Rumah Panjang di Antawau, Baleh, Sarawak, tidak sebagaimana hari ini yang lebih mudah dan selesa.
"Saya telah dilantik sebagai Setiausaha Cabang semasa Penubuhan Cabang yang diketuai oleh Sd. Bedindang Anak Manjah sebagai Ketua Cabang masa itu. Fakta Sejarah ini tidak harus dilupa.
"Menuju ke depan, kita sewajarnya bergerak sebagai satu pasukan," katanya dalam kenyataan mengimbau penglibatan awal dalam parti.
Namun, kata Abun, insan yang paling berjasa dan bekerja keras untuk parti tentulah Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengorbankan hidupnya masuk keluar penjara demi perjuangan menegakkan hak rakyat.
"Penghargaan harus diberikan kepada parti dan Presiden yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lebih banyak berkorban demi rakyat dan mengiktiraf perjuangan kita dari Hulu Rajang.
"Ayuh, bersama kita terus melangkah memperkuatkan parti keramat ini," katanya lagi.
Comments