Oleh: Redzuan Shamsudin
ULASAN: Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) Malaysia ke 10 bagi generasi muda tidak lebih sebagai penggantian seorang PM kepada seorang pemimpin yang lain.
Bagi pihak yang mengikuti simpang siur politik pula mungkin membayangkan sosok Anwar lebih sinonim ke arah politik pelbagai kaum berbanding PM berhaluan kanan pro Melayu daripada PN atau BN.
Namun buat pendukung reformasi, perjuangan Anwar jauh mengatasi segalanya.
Ianya satu pergulatan menyelamatkan Malaysia berbilang kaum yang amat panjang, sama panjang dengan perjalanan tokoh penentang rejim Apartheid, Nelson Mandela di Afrika Selatan, Mahatma Gandhi di India atau Jose Rizal di Filipina.
Politik pelbagai kaum dapat tentangan
Perjuangan Anwar amat konsisten biar pun sekejap ditentang, sekejap diterima, kemudian ditentang kembali oleh kaum Melayu yang tidak faham perlunya politik menyantuni semua kaum di Malaysia.
Ketika perjuangan reformasi bermula, tiada siapa percaya idea pelbagai kaum boleh bertahan di tengah tengah hegemoni dasar Ketuanan Melayu yang menebal. Namun Anwar membuktikan Melayu boleh menerima kaum lain dengan lebih baik sekiranya diberi pemahaman yang betul.
Bagaimanapun langkah memecah hegemoni itu ditentang oleh penguasa dan kaum oligarki. Anwar dipenjara silih berganti. Manakala sejak 1999 Parti Keadilan Nasional dan kemudiannya Parti Keadilan Rakyat bangkit melawan.
Bukan bersendirian tetapi bersama Pas dan DAP. Bagi generasi awal reformasi, Pas adalah teman susah senang dan berjerih payah. Di bawah kepimpinan Datuk Ustaz Fadzil Noor dan Datuk Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Pas mendukung perjuangan reformasi dengan hebatnya sejak penubuhan Barisan Alternatif (1999 - 2007) dan Pakatan Rakyat (2008 - 2015).
Namun Pas bukan tidak mendapat laba daripada penderitaan Anwar dipenjarakan. Pas yang hampir kecundang di Kelantan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 1994 mendapat nafas kembali dengan mengendarai isu Anwar pada PRU 1999. Berjaya merampas Terengganu dan mengembangkan pengaruh di Pantai Barat.
Untuk kemudian pada PRU 2008 secara bersama menumbangkan BN di Selangor, Kedah, Perak dan Pulau Pinang dalam pilihan raya pertama yang dipimpin Anwar setelah keluar dari penjara Sungai Buloh.
Kegesitan Anwar membuat come back politik menggerunkan pemerintah dan tuduhan liwat kedua dicipta pada 2008. Tuduhan itu menyebabkan Anwar terpenjara sekali lagi pada 2014.
Pas berpisah, mesra Umno
Pemenjaraan Anwar kali kedua itu menyebabkan Pas tidak lagi mempunyai impian untuk terus bersama Pakatan Rakyat dan memilih langkah 'mesra' Umno BN untuk pilihan raya seterusnya. Hal itu menyebabkan kumpulan pro Anwar dihalau keluar daripada parti tersebut pada 2015 dan menubuhkan Amanah.
Namun pergolakan dalaman Umno kemudiannya menyaksikan PM Najib Razak melakukan kesilapan besar membuang beberapa pimpinan Umno seperti Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir dan Shafie Apdal pada 2016 yang kemudiannya mereka bergabung bersama Tun Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan untuk menumbangkan BN dalam PRU ke 14.
Masih penulis ingat, beberapa hari selepas keputusan PRU 14, saya menulis di kolum tetap akhbar Suara Keadilan ketika itu mencoretkan bahawa sejarah sepatutnya berhenti selepas Najib berjaya mempertahankan kemenangan BN pada PRU 2013. Menggilap Umno lebih gemilang. Untuk tidak perlu sejarah mencatat nama Mahathir sebagai PM seterusnya, dan Anwar kembali menjadi rakan kongsi politik di sisinya.
Saya coretkan, tetapi sejarah ditakdirkan untuk berhenti pada titik yang paling pelik, memastikan mantan PM Mahathir dan mantan TPM Anwar bergabung kembali sebagaimana mereka membina harapan 27 juta rakyat Malaysia untuk menjadi negara maju dua dekad sebelum itu.
Impian indah musnah
Namun peluang bergabung kali kedua ini tidaklah seindah impian kerana Tun gagal mendukung perjuangan reformasi yang dijanjikan kepada rakyat. Biar pun Anwar dibebaskan dari penjara namun tidak banyak tuntutan reformasi setuju dilakukan oleh Tun. Mahathir juga berbelit belit mengelak menyerahkan kuasa kepada Anwar sebagaimana dijanjikan dalam tempoh 2 tahun.
Sebaliknya, Februari 2020 bukan kuasa yang diserahkan tetapi Langkah Sheraton mengambil alih politik dan PM terlepas ke tangan Muhyiddin Yassin. Gelita menyelubungi perjuangan Anwar. Bagi pemerhati politik, Langkah Sheraton adalah kuburan politik muktamad bagi Anwar setelah jeneral bintang lima KEADILAN seperti Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin membelot.
Hal itu dibuktikan dalam 3 Pilihan Raya Negeri di Melaka, Sarawak dan Johor pada 2021. KEADILAN parti 1.2 juta keanggotaan kalah teruk dan dilihat amat lemah menuju PRU 15. Banyak pihak meramal KEADILAN hanya akan mendapat sekitar 15 - 20 kerusi parlimen.
Ironinya, sekali lagi sejarah tidak ditakdirkan berhenti pada titik yang terburuk buat Anwar. Rafizi Ramli kembali, menjana sokongan dengan logik baharu memulihkan Malaysia dengan cara penambahan peluang pekerjaan dan gaji yang bermaruah. Idea politiknya disambut majoriti kaum Cina dan India, juga Melayu kawasan bandar.
Maka keputusannya, PRU 15 KEADILAN menguasai 31 kerusi parlimen. Parti yang kekal berpengaruh dan menjadi tunjang di Pantai Barat serta selatan Semenanjung.
Parlimen tergantung jana peluang
Dengan parlimen tergantung, cita cita politik Anwar sepatutnya berakhir. PN adalah sekutu BN sejak 2020. Sekiranya PN lebih jujur dalam berpolitik dan tidak beberapa kali menikam BN dari belakang, termasuk sebelum pilihan raya membenarkan tokoh besar Umno seperti Shahidan Kassim menyertai mereka untuk bertanding di parlimen Arau, maka tiada lagi percaturan politik selepas 19 November 2022. Kerajaan menanti ialah PN - BN - GPS dan PM ialah Muhyiddin Yassin.
Cuma dalam masa tiga hari sejarah memilih untuk bergerak ke titik yang paling membingungkan mana mana pemerhati politik. Perjalanan politik Anwar dan rakan rakan yang menubuhkan KEADILAN, setelah ditendang dari perut Umno, dizalimi selama 2 dekad tiba tiba kembali ke titik awal. Melengkapkan lingkaran yang sempurna, kembali bersekutu bersama Umno yang lebih bersih daripada 1998, menubuhkan Kerajaan Perpaduan.
Pemahaman generasi muda, hal yang terjadi pada 24 November adalah manoeuvre politik yang wajar berlaku di mana mana negara.
Namun bagi sesiapa yang menyaksikan sejarah sejak 24 tahun lalu. Insan pencatat peristiwa seperti saya, yang hadir dalam hampir setiap demonstrasi besar melawan penindasan; Bersih 1, Bersih 2, Bersih 3, mansuh ISA, anti GST; ia bukan satu peristiwa biasa.
Titik di antara reformasi dan dilantik sebagai PM 10 adalah period yang amat panjang, diselimuti gas pemedih mata, belantan FRU, dikejar, didera atau ditahan ISA. Rakan rakan lama Pas yang kini tidak semesra dahulu, rakan rakan yang meninggal dunia, rakan rakan yang melompat bersama Langkah Sheraton.
Untuk kemudian bertemu rakan baharu dalam BN. Fajar yang menyinsing pada 24 November sangat aneh tetapi menginsafkan.
Putaran perjalanan reformasi
Betapa perjalanan hidup, putaran roda, takdir dan nasib telah membawa insan ke arah yang tidak terduga namun penuh hikmah.
Bagi generasi kami, menghantar Anwar ke kerusi PM adalah satu perjuangan amat melelahkan, merimaskan, terlalu banyak tribulasi, ramai reformis telah meninggal dunia tanpa melihat hasil, dan bagi yang masih hidup tentunya satu kepuasan selepas 24 tahun Anwar mendapatkan haknya yang dinafikan.
Hak untuk menjadi PM itu, selama 2 dekad, 30 juta rakyat meredah gelora perjuangan. Namun hak itu kini yang menentukan Malaysia menyambung impian sebagai Harimau Asia, yang tergendala selama 20 tahun.
Reformasi mengajar kita bahawa manusia dan impian adalah magic. Keazaman pejuang reformasi untuk melihat impian menjadi kenyataan adalah perjuangan epic.
Impian itu telah terbayar pada 24 November, malam tidak lagi memanjang. Kepada rakyat Malaysia, kita adalah sebahagian daripada sejarah gemilang itu, untuk dicerita kepada anak semua bangsa yang menelaah buku teks sejarah 10 tahun ke hadapan, bahawa "Kami hidup di zaman pertempuran agung itu, kami sertai, dan kami menang".
________________________________________________________________________________
Penulis merupakan editor Suara Keadilan
Comentários