Tahun 2024 yang ditinggalkan dikenang dalam sejarah sebagai mukadimah dan pembuka kepada agenda pembaharuan nasional untuk Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi ucapan sempena tahun baharu 2025 yang disiarkan di saluran stesen televisyen tempatan malam tadi beliau berkata, sepanjang 2024, kerajaan telah menggerakkan usaha menjelmakan anjakan baharu dengan tekad politik yang jelas serta niat ikhlas dan penilaian teliti.
Memahami bahawa tidak semua keputusan dan kebijakan yang dilakukan kerajaan adalah popular atau segera membuahkan hasil, beliau menegaskan semua dasar-dasar yang dilaksana adalah bagi memastikan ia memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.
Selain itu peluncuran kerangka Ekonomi MADANI pada Julai 2023 memungkinkan hala tuju jelas untuk membentuk semula Malaysia sebagai peneraju ekonomi rantau Asia.
"Apa yang lebih mendesak dan mustahak adalah kerangka Ekonomi MADANI yang memberi petunjuk kepada kepemimpinan dan generasi penerus untuk mempasak sebuah sistem ekonomi berteraskan prinsip manusiawi dengan ihsan, dengan rahmah agar keadilan dapat ditegakkan bagi setiap insan warga Malaysia.
"Sebagai contoh, penyasaran subsidi diesel, sebelumnya tentang tarif elektrik yang digerakkan Kerajaan MADANI untuk menutup ketirisan sekian lama dek subsidi pukal yang telah disalurkan kepada pihak yang saya sebut sebagai maha kaya dan orang asing, tiga setengah juta orang yang tidak layak menerima subsidi,” katanya.
Pada ucapannya juga Anwar menzahirkan kesyukuran susulan kemampuan kerajaan menambah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM10 bilion, jumlah terbesar dalam sejarah.
"Insya-Allah, pada tahun hadapan, kerajaan berhasrat untuk menambah peruntukan STR dan SARA sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion keseluruhannya.
"Selain menambah jumlah bantuan saban tahun, kerajaan juga giat (menangani) gejala kenaikan kos melalui penganjuran Program Payung Rahmah di seluruh negara selain menggerakkan pasukan pemantau secara aktif bagi mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang mencatut harga sewenang-wenangnya," katanya yang juga Menteri Kewangan.
תגובות