
Sebanyak 200 kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal dikaitkan dengan GISBH Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Selangor bersedia untuk menjalani sesi persekolahan secara formal.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, sehubungan itu mereka akan mengikuti pendidikan di sekolah kebangsaan buat kali pertama pada sesi persekolahan bermula 17 Februari ini.
"Mereka ini boleh dikatakan bersedia untuk bersekolah selepas Kementerian Pendidikan membuat penilaian meliputi tahap pembelajaran diikuti penilaian akidah oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan juga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
"Proses pendaftaran akan dibuat ibu bapa atau penjaga dengan bon jaminan dan dipantau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secara berkala setiap bulan, bagi memastikan kesemua syarat ditetapkan dipatuhi.
"Langkah berikutnya, kerajaan negeri akan membantu kira-kira 1,000 lagi kanak-kanak GISBH yang telah berdaftar dengan MAIS, untuk memasuki sistem persekolahan dalam menjamin masa depan lebih baik kepada mereka," katanya dipetik.
Beliau sebelumnya hadir ke majlis penyampaian sumbangan barangan persekolahan dan bantuan kewangan RM400 setiap penerima kepada 200 anak-anak GISBH di Shah Alam pada Sabtu.
Sementara itu Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang turut hadir ke majlis itu berkata, meskipun program rehabilitasi ahli GISBH dikendalikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah tamat pada Selasa lepas, kesemua kanak-kanak termasuk ibu bapa dan penjaga akan terus dipantau selama dua tahun.
Beliau berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), MKN, JKM dan JAIS termasuk kerajaan negeri untuk memastikan kesemua bekas ahli GISBH menjalani dan mematuhi proses pemulihan akidah seperti dijadualkan.
"Kami amat berharap masyarakat dapat menerima mana-mana bekas ahli GISBH yang menjalani proses pemulihan terutamanya kanak-kanak agar mereka dapat menjalani kehidupan bersama masyarakat dengan lebih selesa," katanya.
Commentaires