2,000 pelajar daripada keluarga B40 dalam Parlimen Tambun menerima baucar kelengkapan sekolah pada Sabtu.
Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, pemberian baucar itu diselaraskan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) membabitkan peruntukan sebanyak RM200,000.
"Apa yang dilakukan ini membuktikan bahawa kerajaan berikhtiar bersungguh-sungguh untuk membantu meringankan beban keluarga di Tambun dan Malaysia amnya," katanya dipetik.
Beliau sebelumnya menghadiri Program Kembali Ke Sekolah Peringkat Parlimen Tambun 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Meru Raya.
Penerima terpilih terdiri daripada pelajar dalam lingkungan usia 7 hingga 17 tahun, dengan setiap daripada mereka menerima bantuan sebanyak RM100.
Shamsul Iskandar sementara itu berkata, pihaknya merancang agar bantuan berkenaan ditambah dari semasa ke semasa dengan melibatkan lebih ramai pelajar.
Justeru beliau berharap syarikat swasta serta badan korporat tampil memberi sokongan dengan melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.
"Saya percaya lebih ramai membantu, lebih banyak manfaat yang diterima para pelajar ini khususnya dalam menyediakan barangan kelengkapan persekolahan sebelum sesi (sekolah) dibuka pada 17 Feb ini," katanya lagi.
Comentarios