Kerajaan setakat ini belum menetapkan jumlah kuota diesel bagi kenderaan pengangkutan barang yang menerima manfaat fleet card menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh, berkata mekanisme penyasaran subsidi bahan bakar di bawah sistem itu adalah berbeza dengan sistem agihan subsidi Budi Individu atau Budi Agri-Komoditi.
"Setakat ini, tiada kuota ditetapkan menerusi fleet card, ia mengikut keperluan syarikat. Kita faham, syarikat logistik barangan membuat penghantaran jauh, contohnya dari utara ke selatan," katanya dipetik.
Fuziah ditemui pemberita pada Program Bijak Belanja Pengguna dan Jualan Rahmah MADANI Peringkat Pulau Pinang di Bandar Tasek Mutiara, semalam.
Mengulas lanjut mengenai inisiatif itu, Fuziah berkata, dianggarkan kira-kira 180,000 kenderaan barangan masih belum memohon mendapatkan fleet card.
Mengikut rekod jelasnya, terdapat 389,000 kenderaan barangan berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun setakat ini hanya 209,000 memohon fleet card dalam SKDS 2.0,
"Kategori kenderaan barangan, ada 389,000 yang berdaftar dengan JPJ, namun yang daftar untuk dapatkan fleet card sekitar 209,000 bermakna lebih kurang 180,000 lagi masih belum daftar.
"Mungkin yang belum berdaftar ingat mereka tak layak atau hanya punya satu, dua kenderaan dan rasa susah. Sebenarnya, walaupun satu, dua atau tiga kenderaan pun layak, tak perlu ada 20 kenderaan dalam syarikat. Asalkan termasuk dalam 23 kategori kenderaan mengangkut barang yang tersenarai," katanya.
Sementara itu tambahnya, terdapat 10 kategori pengangkutan awam seperti bas sekolah dan bas ekspres yang turut layak menerima manfaat dari inisiatif itu.
Selain itu, pihaknya juga sedia membuka ruang mengadakan perbincangan pemberian subsidi bagi kenderaan yang tidak tersenarai dalam sistem tersebut.
Comentários