Kerajaan Madani telah pun menggariskan 17 anjakan besar dan menyediakan enjin pertumbuhan baharu ekonomi berupa teknologi hijau, tenaga boleh perbaharui selain sektor kecedasan buatan dan telekomunikasi digital yang telah sedia dimaklumi rakyat.
Menurut Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli, enjin pertumbuhan baharu itu dirangkumkan dalam inisiatif pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) negara yang telah pun dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK12).
"Ramai Ahli Parlimen bangkitkan soalan berhubung apakah sektor-sektor baru atau utama yang akan menjadi enjin baru ekonomi negara.
"Kerajaan melalui Kajian Separuh Penggal RMK12 tempoh 2021-2025 akan melaksanakan 17 anjakan besar di bawah rangka tindakan untuk inisiatif pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), yang akan menjadi enjin pertumbuhan ekonomi. Seterusnya menguatkan lagi daya tahan dan daya saing ekonomi dan sektor-sektor yang selama ini membantu negara kita.
"Ini termasuklah apa yang kita perbahaskan secara panjang tentang peralihan tenaga, sektor yang melibatkan teknologi digital, pertanian dan industri berasaskan nadir bumi (REE)," katanya dalam kenyataan.
Dengan enjin pertumbuhan baharu itu, kata Rafizi, Malaysia sedia untuk mencatat pertumbuhan ekonomi tahunan menghampiri 6% setahun biar pun pada waktu ekonomi dunia mencatat kemerosotan dan kemuraman akibat ketidaktentuan geo-politik global.
"Kerajaan dalam usaha untuk memastikan sasaran pertumbuhan ekonomi negara antara 5% ke 5.5% dalam tempoh akhir RMK-12 ini," katanya lagi.
Perkasakan Industri hiliran REE, tubuhkan 1 agensi yg menguruskan REE