Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) secara percuma mulai April ini dan bakal memberi manfaat kepada lebih 150,000 pelajar di seluruh negeri itu.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Ahmad Azri Zainal Nor berkata dianggarkan 22,000 hingga 25,000 murid sekolah rendah akan terlibat program intervensi literasi dan numerasi, yang mula diperkenal tahun ini.
Manakala kira-kira 130,000 pelajar tingkatan empat dan lima seluruh negeri Selangor akan menerima bantuan kelas tambahan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan.
"Minggu depan kita rancang buat bengkel akhir kawalan mutu untuk kesemua modul PTRS, seterusnya penghantaran kesemua modul kepada sekolah-sekolah boleh dibuat pada Mac dan kelas dijangka mula April," katanya dipetik laporan Selangorkini.
Program Tuisyen Rakyat ialah program khusus yang dijalankan bagi meningkatkan, memenuhi dan merealisasikan agenda bagi memastikan kebajikan rakyat.
Ia menyasarkan pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah yang prestasi pelajaran sederhana atau lemah.
Pada 13 Ogos lalu, Kerajaan Negeri turut melancarkan aplikasi e-PTRS yang menyasarkan 200,000 pelajar mendapat manfaat teknologi baharu itu. Pengenalan aplikasi pembelajaran berkenaan antara penambahbaikan PTRS yang wujud sejak 2008.
Kerajaan negeri menerusi Belanjawan Selangor 2025 memperuntukkan RM10 juta bagi melaksanakan PTRS melibatkan pelajar sekolah menengah manakala RM1 juta untuk program intervensi literasi dan numerasi yang memfokuskan kelas pemulihan untuk menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) untuk pelajar sekolah rendah.
Kommentare