
Oleh: Akmal Manaf
Sebanyak 139 tapak dengan keluasan 3,036.81 ekar sudah dikenal pasti sebagai kawasan yang berpotensi untuk pembangunan semula menerusi inisiatif Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) dan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (DPTKL2040).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, tapak-tapak berkenaan merupakan kawasan yang berpotensi untuk dijadikan perumahan mampu milik apabila dibangunkan pada masa akan datang.
Beliau berkata, bagi memastikan sasaran pembinaan rumah mampu milik itu tercapai, DPTKL 2040 telah memperkenalkan zon guna tanah kediaman empat (R4) iaitu zon khusus bagi pembangunan rumah mampu milik termasuk perumahan awam dengan keluasan 354.47 hektar.
"Selain itu, perumahan mampu milik juga dirancang di zon pembangunan kediaman berintensiti tinggi, zon perdagangan dan juga zon pembangunan bercampur dengan tambahan keluasan sebanyak 253.39 hektar.
"Keluasan berpotensi ini adalah untuk semua kategori rumah mampu milik, tidak terhad kepada projek Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sahaja iaitu Residensi MADANI dan RUMAWIP.
"Rancangan ini tidak hanya tertumpu kepada tanah-tanah kerajaan, tetapi turut mengambil kira penyertaan sektor swasta selaras dengan kelulusan dan komitmen yang telah diberikan bagi tempoh sehingga 2040," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Dr Zaliha (PH-Sekijang) menjawab pertanyaan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) memohon dinyatakan keluasan tanah milik Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berpotensi dibangunkan sebagai rumah mampu milik serta rancangan jangka pendek dan panjang bagi tujuan tersebut.
Comments