Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan pihaknya menerima sebanyak 10,000 permohonan warganegara bagi kategori anak permastautin tetap.
Susulan permohonan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan membuat keputusan dalam tempoh enam bulan ini.
"Mereka boleh tahu status sama ada permohonan yang dilakukan itu berjaya atau tidak untuk mendapatkan status warganegara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 membabitkan kewarganegaraan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjelaskan mengenai prosedur operasi standard (SOP) pula, Saifuddin berkata, KDN juga sudah membangunkan SOP yang lebih jelas dalam menguruskan permohonan melibatkan status kewarganegaraaan.
Beliau berkata, SOP itu termasuk pemohon akan mendapat tahu tentang status semasa permohonan yang dilakukan mereka.
Ujarnya, selepas SOP dibangunkan, ia akan menjawab soalan paling asas untuk memohon sebagai warganegara.
"Sebelum dia memohon, dia akan tahu dan pada masa sama akan dipandu dengan satu SOP.
"Ia seperti apa-apa dokumen yang diperlukan. Tanpa melengkapkan dokumen berkenaan, maka pegawai (KDN) akan memaklum permohonan tidak lengkap (di peringkat awal).
"Tetapi, kalau dia nak kemuka juga (permohonan), maka permohonan tersebut kemungkinan akan berdepan dengan penolakan," jelas beliau lagi.
Comments