Kerajaan Madani menjalankan pentadbiran dengan adil tanpa meminggirkan mana-mana negeri yang dikuasai pembangkang.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, hal itu terbukti apabila bantuan sekali beri (one off) dari Perdana Menteri kepada golongan kurang berkemampuan telah disalurkan kepada penerima di Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu.
"Apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) jelas menunjukkan Kerajaan Madani tidak pernah meminggirkan negeri-negeri pembangkang walaupun berlainan pucuk pentadbiran.
"Sebagai contoh beliau (Perdana Menteri) mengarahkan semua setiausaha-setiausaha politik untuk turun padang mewakilinya untuk menyantuni rakyat," katanya dipetik semasa sidang akhbar selepas merasmikan Program Bantuan One Off Perdana Menteri anjuran bersama Pertubuhan Masyarakat Madani Gaul Ipoh (MMGI) di Tanah Merah pada Khamis.
Pada program tersebut seramai 500 penerima terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU), asnaf, ibu tunggal dan golongan B40 menerima bantuan sekali beri berjumlah RM200 seorang yang diselaras Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Secara keseluruhan seramai 1,300 rakyat di negeri itu menerima bantuan diserahkan menerusi Jelajah Madani bermula di Tanah Merah, Pasir Mas, Rantau Panjang, Tumpat sebelum berakhir di Kota Bharu.
"Besar harapan kami agar bantuan yang dihulurkan ini dapat meringankan beban penerima menjelang penggal baharu persekolahan serta awal Ramadan," tambahnya.
Sementara itu Azman menjelaskan, bantuan baharu memasuki fasa pertama di mana agihannya telah melibatkan 30 peratus penerima dan dilaksanakan di 10 buah negeri.
Setakat ini Sarawak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan belum lagi disantuni dan ia akan dilakukan dalam masa terdekat.
Comments