Jun 271 min

Syarikat penerbangan 100 teratas: MAS naik 8 anak tangga

Malaysia Airlines (MAS) memperbaiki kedudukan dalam senarai 100 syarikat penerbangan teratas dunia 2024 apabila naik lapan anak tangga ke tempat 39 berbanding ke-47 tahun lalu.

Kedudukan itu adalah berdasarkan hasil tinjauan dalam talian dari September 2023 hingga Mei 2024 yang melibatkan penumpang dari lebih 100 negara.

Senarai 100 Syarikat Penerbangan Teratas Dunia 2024 telah diumumkan di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2024 yang telah diadakan di London pada Isnin.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengucapkan tahniah di atas pencapaian tersebut dengan berkongsi hantaran dari Facebook kementeriannya mengenai perkara itu.

"Pengiktirafan luar biasa ini adalah penanda aras global bagi kecemerlangan industri penerbangan negara dari segi rangkaian perkhidmatan yang konsisten, berkualiti tinggi serta komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menyediakan perkhidmatan terbaik," kata kementerian itu semalam.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan turut merakamkan ucapan tahniah kepada AirAsia atas kejayaan dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia ukali ke-15 berturut-turut dan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2024.

"Pengiktirafan luar biasa ini adalah penanda aras global bagi kecemerlangan industri penerbangan negara dari segi rangkaian perkhidmatan yang konsisten, berkualiti tinggi serta komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menyediakan perkhidmatan terbaik," katanya lagi.

    2