May 301 min

Kertas cadangan 'Parallel Pathway'dibentang ke Kabinet minggu depan

Oleh: Azuan Ab Rahman

Isu berkaitan kursus perubatan 'Parallel Pathway' melibatkan bukan Bumiputera di Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan dibincangkan secara lebih terperinci dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang akan diadakan pada Rabu minggu depan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melalui satu kenyataan berkata, beliau sudah memberi taklimat awal kepada Kabinet bagi program yang ditawarkan oleh UiTM itu.

"Isu pokok yang timbul berkaitan dengan kemelut Program Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran atau 'Parallel Pathway' dalam bidang pembedahan kardiotorasik ialah isu pengiktirafan latihan kepakaran 'Parallel Pathway' yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan.

"Kedua, isu pendaftaran pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran 'Parallel Pathway' dalam Daftar Pakar (National Specialist Register – NSR) di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC)," katanya.

Melalui kenyataan sama, beliau menegaskan terdapat kumpulan yang cuba mengambil kesempatan sehingga menuduh UiTM bersikap 'apartheid' sedangkan isu utama ialah tiada pengesahan dan pengiktirafan daripada MMC kepada kumpulan pelajar ini

"Isu pengiktirafan siswazah kardiotorasik dan tuduhan membuka UiTM kepada bukan Bumiputera ialah dua isu yang berbeza" tegasnya.

Justeru jelas beliau, Kementerian Kesihatan akan meminda akta berkaitan bagi membolehkan beberapa masalah berbangkit dapat diselesaikan termasuklah mendaftarkan pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran 'Parallel Pathway'.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang kini berada di Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-77 di Geneva akan membentangkan cadangan menyeluruh dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.

    2